\Toon\


Arkib



Refleksi.......

Soalan 1. Apakah transformasi yang perlu dilalui oleh seseorang guru supaya dapat mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21. Negara kini menyimpan satu hasrat untuk membangunkan generasi masyarakat yang memiliki kemahiran abad 21. Kemahiran abad ke-21 biasanya digunakan untuk menghuraikan pelbagai kebolehan yang diperlukan untuk berjaya di zaman global.Justeru, proses pembelajaran di dalam bilik darjah perlu merangkumi literasi teknologi, pembelajaran kolaboratif,pengunaan pendekatan pembelajaran berasaskan projek serta aplikasi pemikiran aras tinggi termasuk pemikiran kritis untuk mensintesis dan menilai maklumat dalam menyelesaikan masalah. Sebagai respon kepada hasrat tersebut, kerajaan telah memperkenalkan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke 21 ( SPN21 ). Antara lain tujuan SPN21 diperkenalkan adalah untuk mengembangkan kemahiran-kemahiran abad 21. Kemahiran-kemahiran abad 21 :- Kemahiran berkomunikasi. - celik huruf ( membaca, menulis ) - mendengar dan bercakap Kemahiran mengira. Kemahiran sains dan teknologi. Kemahiran penyelesaian masalah. - berfikir - kreativiti Kemahiran pengurusan diri dan kompetitif. - keusahawanan Kemahiran belajar dan bekerja. Kemahiran hubungan antara peribadi. Kemahiran fizikal. Kemahiran estetika. Sehubungan itu, tumpuan diberikan lebih kepada sekolah-sekolah di mana para pelajar diterapkan dan dididik dengan nilai-nilai serta ilmu pengetahuan berkaitan kemahiran abad 21, khususnya yang menjurus kepada penggunaan ICT. Dalam keadaan ini, guru sangat memainkan peranan kerana merekalah yang bertanggungjawab ke atas para pelajar untuk dibangunkan menjadi generasi yang mempunyai kemahiran abad 21. Guru mestilah mempersiapkan diri selengkapnya agar usaha merealisasikan hasrat negara akan tercapai. SPN21 menekankan beberapa aspek cabaran atau masalah yang dihadapi oleh guru dalam menerapkan kemahiran abad 21 ke atas generasi pelajar. Cabaran-cabaran tersebut ialah :- 1. Kemudahan akses. - fasiliti / alat. - makmal komputer. - makmal bahasa. - akses internet ( blink zone ). 2. Kemudahan peralatan / sumber. - produk dan perisian terkini. - pemuliharaan ( maintenance ). Lantaran itu, bagi mengatasi cabaran-cabaran dan masalah ini, seseorang guru itu haruslah melakukan perubahan ( transformasi ) terhadap diri sendiri, khususnya dalam hal berkaitan kemahiran abad 21. Antara transformasi yang perlu dilalui oleh seseorang guru ialah menguasai ilmu ICT. Adalah menjadi tanggungjawab guru meyediakan pelajar dengan kemahiran-kemahiran ICT ini semaksimum yang mungkin. Ilmu ICT sangat penting bagi seseorang untuk berjaya di zaman yang begitu cepat berubah terutama dari segi kemajuan sains dan teknologi. Ketinggalan dalam dunia sains dan teknologi bermakna akan ketinggalan dalam semua aspek. Sesebuah sekolah yang dilengkapi dengan alat teknologi yang canggih, tetap tiada gunanya jika tenaga pengajar iaitu guru itu sendiri tidak mempunyai kemahiran untuk mengendalikannya. Makmal komputer, OHP, projektor, smartboard, semua peralatan IT ini sangat membantu dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Powerpoint, flash, movie maker pula adalah antara perisian yang membantu menjadikan kaedah penyampaian isi pelajaran lebih menarik. Justeru, guru perlu mendalami kemahiran untuk mengendalikan peralatan tersebut. Suasana dunia maklumat kini menuntut kepada masyarakat agar sentiasa peka terhadap keadaan semasa dan sekeliling mereka. Hal yang sama juga berlaku kepada guru. Guru harus peka dengan keadaan semasa yang melibatkan pelajar mereka. Dengan mengetahui keadaan semasa ini, dapatlah guru menyesuaikan pembelajaran mengikut 'mood' atau rentak pelajar. Oleh itu, kemahiran untuk mengakses internet adalah sangat perlu kerana segala maklumat dapat diperolehi dengan cara mengakses internet. Penerapan nilai murni perlu juga diambil kira. Kemajuan negara masa kini, terutama dalam bidang sains dan teknologi bererti peningkatan terhadap salah laku jenayah dan keruntuhan moral. Guru perlulah melengkapkan diri dan membiasakan dengan nilai-nilai murni kehidupan agar akan memberi contoh yang baik kepada pelajar. Selain itu dengan nilai murni ini diharapkan agar guru dapat menghindarkan pelajar dari terjebak ke arah kesesatan. Kesimpulannya, untuk mencapai hasrat negara yang ingin membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21, seseorang guru perlu melalui transformasi berikut :- 1. Guru perlu melengkapkan diri dengan nilai-nilai murni, supaya kuat dalam menghadapi karenah dunia yang semakin jatuh moralnya. 2. Guru perlu menguasai sepenuhnya kemahiran-kemahiran berkaitan ICT agar tidak akan ketinggalan dan agar dapat memaksimakan hasil pengajaran terhadap para pelajar. 3. Guru perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa yang berlaku di sekeliling terutama yang melibatkan para pelajar.
 
 
 
 

Refleksi......

Soalan 2. Ramai yang mengatakan guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah kerana mereka belum bersedia. Sekiranya anda ditempatkan di sekolah Bestari, apakah langkah-langkah yang akan anda lakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah? Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan ICT amat membantu untuk menjadikan P&P lebih berkesan. Namun, tidak ramai dari kalangan guru yang menyedari hakikat ini. Sesetengahnya pula tahu akan kepentingan penggunaan ICT, namun masalah kurang kemahiran untuk mengendalikan peralatan ICT pula yang dihadapi. Keadaan ini menyebabkan timbul dakwaan yang mengatakan guru-guru tidak menggunakan ICT di sekolah kerana mereka belum bersedia. Apabila ditanya, sesetengahnya menjawab bahawa untuk menggunakan perkakasan ICT memerlukan kepada kemahiran tertentu, dan ianya adalah sukar untuk dikuasai. Sekiranya saya ditempatkan di sekolah Bestari. antara langkah-langkah yang akan saya lakukan untuk membantu guru-guru lain supaya bersedia untuk membudayakan ICT dan memanfaatkan perkakasan ICT yang ada di sekolah ialah :- 1. Menerangkan kepada guru-guru lain tentang manfaat penggunaan ICT dalam P&P, seperti : - dapat meluaskan lagi konsep pembelajaran. - dapat menyediakan 1 situasi pendidikan yang mencabar minda kepada murid cerdik yang memerlukan kepada aktiviti pengayaan. - berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap pelajaran. 2. Menerangkan kepada guru bahawa mereka tidak perlu menjadi pakar, cukup sekadar menguasai kemahiran asas ICT untuk membolehkan mereka menggunakan perkakasan ICT, dan ia boleh diperolehi melalui aktiviti kelab komputer sekolah yang melaksanakan program Literasi Komputer Kementerian Pendidikan. 3. Mengaplikasikan dengan sepenuhnya segala peralatan ICT yang ada di sekolah agar guru-guru lain akan dapat melihat kelebihan yang ada dengan penggunaan perkakasan ICT. 4. Memegang jawatan sebagai guru seliaan makmal komputer sekolah agar saya dapat merancang aktiviti terentu yang dapat meningkatkan penggunaan ICT dalam P&P di sekolah. 
 
 
 

Refleksi......

Soalan 3. Untuk refleksi seterusnya, berikut adalah soalan-soalan yang perlu dibincangkan bersama. Soalan-soalan ini menuntut anda memikirkan pengalaman yang telah dilalui pada semester ini yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian menggunakan Moodle (ADEC). Soalan-soalan ini adalah amat penting kerana ianya akan membantu anda sebagai seorang guru yang juga akan menggunakan pembelajaran atas talian dengan murid-murid anda suatu hari nanti. 1- Apakah ciri-ciri dan kemahiran yang ada pada anda membolehkan anda mengawal proses pembelajaran anda secara atas talian? - Inkuiri yang tinggi. Saya sentiasa mengharapkan akan ada sesuatu yang baru. Ini menyebabkan saya sentiasa mengakses ke ruang Adec.secara tidak langsung proses pembelajaran saya akan bergerak seiring dengan perkembangan Adec itu sendiri. - Adec menghubungkan saya dengan rakan-rakan lain dalam jumlah yang ramai. Dan ini memberikan peluang kepada saya untuk berinteraksi dengan lebih senang, terutamanya ketika ingin mengajukan permasalahan. - Adec adalah rangkaian akses yang beroperasi secara 24 jam. Justeru, saya tidak akan bimbang tentang masalah masa kerana saya boleh menggunakan masa terluang sama ada lewat pagi, tengah malam dan sebagainya untuk memberi respon. - Saya boleh memberi tumpuan penuh ketika dalam kelas, tidak perlu risau tentang nota, kerana saya boleh mendapatkannya kemudian di Adec. 2- Apakah bahan atau sumber yang perlu disediakan oleh tutor/pensyarah supaya anda boleh mengawal proses pembelajaran anda atas talian? - nota yang dipelajari di dalam kelas. - sumber rujukan lain yang boleh diakses selain nota yang disediakan. - perisian-perisian sampingan yang menarik, seperti education games. 3- Apakah perkara-perkara yang perlu dibuat oleh seorang guru untuk membantu murid meningkatkan kawalan proses pembelajarannya secara atas talian? - menyediakan satu ruang yang membolehkan pelajar berhubung secara terus kepada guru. Kerana sesetengah pelajar menghadapi masalah yang perlukan kepada penyelesaian segera. - menyediakan satu ruang yang 'private'. Kerana ada pelajar yang segan untuk mengutarakan sesuatu kepada umum, dan hanya ingin berkongsi masalah dengan guru yang terlibat sahaja. - menyediakan ruang yang membolehkan pelajar berinteraksi sesama mereka. - guru perlu 'turun padang' dari masa ke semasa agar dapat berkongsi bersama pelajar setiap yang berkaitan subjek atau yang tidak berkaitan tetapi ingin dikongsikan oleh pelajar.
 
 
 

Refleksi......

Refleksi 4: Nampaknya kelas kita sudah hampir ke penghujungnya. Saya berharap agar anda sudah mendapat banyak manfaat dan ilmu serta kemahiran dalam masa 9 minggu ini. Anda akan menyerahkan tugasan projek anda tidak lama lagi. Saya ingin mengetahui pendapat anda tentang pengalaman menyiapkan tugasan projek tersebut. Soalan-soalannya adalah seperti berikut: 1. Apakah pendapat/persepsi anda apabila diberitahu bahawa anda dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia? Sebagaimana saya mendapat tugasan yang pertama, maka samalah halnya apabila saya dikehendaki untuk menyiapkan satu koswer yang menggabungkan semua elemen-elemen multimedia. Saya gembira kerana akan berpeluang menggunakan perisian tertentu, dan juga kerana saya memang meminati bidang perkomputeran. Namun, itu berlaku apabila saya hanya diberitahu untuk melakukan tugasan tersebut. Apabila sudah memahami apa sebenarnya yang perlu saya lakukan, saya sedikit susah hati, jiwa saya kacau, sebab ia tidak hanya kepada menggunakan perisian, tetapi perlu kepada perancangan yang agak rumit. Saya memang tidak kisah jika ianya hanya melibatkan perisian multimedia. Kerana saya sanggup duduk menghadap komputer berjam-jam menggunakan movie maker.Itu adalah pengalaman saya sendiri. Walaupun dalam tugasan 3, bahagian storyboard saya tidak terlibat, namun melihat kepada hasil yang telah dibuat oleh rakan kumpulan yang lain, saya tetap tahu bahawa ianya adalah sesuatu yang rumit untuk dibuat. Sama ada ianya benar-benar rumit, atau saya yang tidak faham konsep, mendapat peluang untuk menggunakan blogger, dreamwaver adalah saat bahagia bagi saya. 2. Pada pendapat anda adakah projek ini akan dapat membantu anda ketika anda menjalani praktikum nanti? Saya amat bersetuju untuk mengatakan bahawa projek ini akan dapat membantu saya ketika menjalani praktikum nanti. Setelah melihat kepada pembentangan hasil tugasan ketiga oleh rakan-rakan, saya dapat merasakan bahawa dengan adanya pengalaman ini,iaitu membuat koswer amat membantu dalam menjadikan proses P&P lebih berkesan. Saya cuba membayangkan dalam fikiran saya, dan membandingkan antara P&P secara biasa dengan P&P menggunakan koswer ke atas tajuk yang sama, ternyata P&P yang menggunakan koswer seperti yang dibentangkan oleh rakan lebih efektif dan lebih menarik. Justeru, projek ini akan dapat membantu saya mewujudkan proses P&P yang baik ketika praktikum nanti. 3. Untuk makluman anda ketika pembentangan projek nanti, rakan-rakan anda yang lain dikehendaki untuk membuat penilaian terhadap anda berasaskan bintang (memberikan jumlah bintang yang bersesuaian dengan produk yang dihasilkan dan pembentangan yang dilakukan) Soalannya, sekiranya anda fasilitator/tutor kelas ini, adakah anda akan menukar kaedah penilaian tugasan ini? Jika YA, jelaskan bagaimana dan mengapa? Jika TIDAK (dan ingin mengekalkan kaedah penilaian menggunakan sistem bintang), mengapa? TIDAK. Kaedah penilaian menggunakan sistem bintang adalah satu kaedah penilaian yang bersesuaian untuk kita membuat penilaian terhadap sesuatu yang bersifat abstrak. Persembahan atau pembentangan hasil projek adalah sesuatu yang abstrak, yang mana ia hanya mempunyai 2 pilihan bagi penonton, samada menarik atau tidak menarik. Berkesan atau tidak berkesan. Mempunyai masalah atau tidak mempunyai masalah. Jadi, saya merasakan ia amat sesuai untuk menggunakan kaedah bintang bagi penilaian pembentangan projek.
 
 
 

Refleksi......

Refleksi 5: Apakah cadangan dan pendapat anda bagi memperbaiki sukatan pelajaran yang terdapat dalam subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini? Adakah ianya perlu diubah? Sekiranya YA kenapa dan bagaimana. Sekiranya TIDAK kenapa? Sepanjang saya mempelajari subjek Multimedia dalam Pendidikan Islam ini dalam masa 9 minggu yang lalu, saya telah diajar dengan pelbagai perkara baru, perisian baru yang mana sebahagiannya saya tidak pernah dengar langsung. Kemahiran multimedia saya telah bertambah. Segala yang saya pelajari dalam kelas ini adalah berkaitan dengan perisian yang dapat membantu meningkatkan mutu penyampaian isi pengajaran dan menjadikannya lebih menarik. Justeru, ianya adalah lebih dari cukup, yang tinggal hanya untuk pengukuhan sahaja agar benar-benar menguasai, dan semua itu hanya berkaitan masa sahaja, sama ada cepat atau lambat. Pada pendapat saya, ianya adalah mencukupi dan tidak perlu diperbaiki atau diubah buat masa ini. Malah, kandungan sukatan pelajaran yang sedia ada ini pun, masih terdapat beberapa antaranya yang saya lambat menguasainya, dan masih tidak menguasai sepenuhnya sehinggga kini.